Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta
Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua
sekolah rendah dan menengah. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Pendidikan Bahasa
Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan
akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai pemangkin kepada
semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat
dalam satu wawasan. Pendidikan Bahasa Melayu di peringkat rendah juga
bertujuan mewujudkan asas semangat kewarganegaraan .
Kurikulum Bahasa Melayu digubal bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu
menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi
dan dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Selain
itu,murid mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran
yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada
kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran
Membaca, dan Kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan murid
menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan
sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan
sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi.
Sukatan pelajaran ini juga memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya
pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza di kalangan murid.
Aktiviti kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah
adalah penting sebagai sokongan bagi memantapkan kemahiran berbahasa
murid.
Sukatan Pelajaran memberikan gambaran menyeluruh tentang kurikulum
Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung matlamat, objektif, dan
organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa,
Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Terdapat
enam dokumen sampingan yang dikenali sebagai Huraian Sukatan Pelajaran
untuk panduan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Huraian Sukatan
Pelajaran ini disediakan bagi setiap tahun, iaitu dari tahun satu hingga
tahun enam.
MATLAMAT
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk
melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk
memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan
urusan harian.
OBJEKTIF
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat :
i. Mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati
pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
ii. Bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
iii.Berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah,
mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
iv. Membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan
menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh
ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
v. Memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
vi. Memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan
penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis;
vii. Mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan
berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses
penulisan yang sesuai dan betul;
viii. Menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,
tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis;
ix. Menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
x. Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme , dan perasaan cinta akan negara.
ORGANISASI KANDUNGAN
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal dengan memberikan fokus
kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil
Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar
dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil
Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan
disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.
Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan
menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran Mendengar merupakan keupayaan murid mendengar dengan teliti ,
memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta
dapat memberikan maklum balas.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin
hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang
kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan.
Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan
tatabahasa yang sesuai.
Kemahiran Membaca
Kemahiran Membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar
serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi
kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis
dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat
dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan
dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui
dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul,
serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan
menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan
berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran
bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk
prosa, puisi, dan grafik.
Hasil Pembelajaran
Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif
kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil Pembelajaran merupakan petunjuk yang
jelas tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid
perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil
pembelajaran. Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu guru memilih
kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan
berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,
Hasil Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat
kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan
yang berfokus kepada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat membantu
murid mencapai Hasil Pembelajaran. Selain itu, Hasil Pembelajaran juga
dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.
Sistem Bahasa
Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa
Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan
intonasi, kosa kata dan peribahasa. Aspek tatabahasa merangkumi
morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa
kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata pelajaran yang lain pada
peringkat rendah.
Pengisian Kurikulum
Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan
perkembangan terkini dalam pendidikan yang meliputi aspek ilmu, nilai,
kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah,
iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan
pelbagai , pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen
ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping
itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberi penekanan
selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.
I. Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Kemahiran Mendengar dan Bertutur merupakan keupayaan murid memahami
perkara yang didengar dan dituturkan dalam pelbagai situasi pengucapan
sama ada perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran ini
bertujuan menimbulkan kemesraan dan mengeratkan persahabatan serta dapat
membincangkan topik yang lebih mencabar. Semua perbualan harus
mengambil kira aspek sosiobudaya dan tatasusila untuk menjamin
kesejahteraan hubungan. Hasil Pembelajaran bagi Kemahiran Mendengar
dan Bertutur ialah berbual, bercerita, menyampaikan maklumat, dan
berbincang.
1.0 Berbual dengan keluarga, rakan sebaya, dan pihak lain dalam situasi formal dan tidak formal.
1.1 Berbual tentang sesuatu perkara berkaitan dengan kehidupan seharian
menggunakan kata, ungkapan, ayat, sebutan, intonasi, dan nada yang
sesuai.
1.2 Bertanya dan menjawab tentang sesuatu perkara secara bertatasusila.
1.3 Memberikan dan memahami arahan serta pesanan tentang sesuatu perkara.
1.4 Menyatakan permintaan secara berterus terang dan meyakinkan dengan
intonasi dan paralinguistik yang sesuai untuk menguatkan permintaan.
1.5 Memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara yang tersurat dan tersirat.
1.6 Menyatakan sesuatu kemahuan semasa menjalankan transaksi dalam urusan harian untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan.
2.0 Bercerita dan melaporkan sesuatu perkara yang didengar, ditonton, dibaca , atau dialami.
2.1 Bercerita menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
2.2 Melaporkan sesuatu perkara dengan bahasa yang sesuai dan tepat.
3.0 Menyampaikan maklumat dalam pengucapan yang mudah, betul, menarik, dan berkesan
3.1 Menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara atau tajuk menggunakan
kata, istilah, frasa, struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang
sesuai.
3.2 Menghuraikan maklumat dengan alasan yang meyakinkan.
3.3 Menyampaikan maklumat kepada pihak lain dalam aktiviti yang terancang.
4.0 Berbincang tentang tajuk-tajuk yang relevan secara bertatasusila
4.1 Mengemukakan idea, pandangan, dan pendapat tentang sesuatu perkara secara terperinci, tepat , dan tersusun.
4.2 Mengemukakan komen yang sesuai berdasarkan pemerhatian, pengalaman, dan maklumat yang disampaikan oleh pihak lain.
4.3 Mengemukakan hujah untuk menyokong atau menentang sesuatu pendirian
dengan memberikan alasan yang sesuai secara sopan dalam aktiviti yang
terancang.
4.4 Menyatakan pilihan untuk menerima atau menolak pandangan dan pendapat dalam perundingan bagi mencapai kata sepakat.
II. Kemahiran Membaca
Kemahiran Membaca merupakan kebolehan murid membaca bahan sastera dan
bukan sastera dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta
memahami bahan yang dibaca. Penekanan diberikan kepada aspek pemahaman
dan penaakulan kandungan teks secara kritis. Pelbagai teknik membaca
diajarkan kepada murid untuk memastikan keefisienan membaca. Hasil
Pembelajaran bagi kemahiran membaca ialah membaca kuat, memahami
maklumat , menaakul , dan menghayati teks.
5.0 Membaca kuat dengan kelancaran sebutan, intonasi, dan gaya pembacaan yang sesuai
5.1 Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan memahami perkara yang dibaca.
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca.
6.0 Membaca dan memahami maklumat yang terdapat dalam pelbagai teks
6.1 Merujuk pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat bagi tajuk yang sedang dikaji termasuk maklumat daripada internet.
6.2 Mengenal pasti pelbagai genre penulisan.
6.3 Membaca dan mengenal pasti isi utama dan isi sampingan daripada teks.
6.4 Membaca pantas secara luncuran untuk mendapatkan maklumat yang menyeluruh.
6.5 Membaca pantas secara imbasan untuk mendapatkan maklumat khusus.
6.6 Membuat ramalan berdasarkan sesuatu cerita atau maklumat yang diberi dalam bahan ilmu.
7.0 Membaca, menaakul , dan menghayati kandungan teks yang dibaca
7.1 Membaca dan menerangkan maksud kandungan teks yang tersurat dan tersirat.
7.2 Membaca dan mengenal pasti perkataan, pelbagai jenis ayat, dan gaya
bahasa daripada bahan sastera dan bukan sastera yang dapat membawa kesan
tertentu kepada pembaca.
7.3 Membaca dan menghayati pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang
berkualiti untuk meningkatkan dan memperkukuh minat membaca.
III. Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan
membina ayat, serta dapat mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis
penulisan. Ini termasuk penulisan tentang pengalaman peribadi yang
dilalui, bahan sastera serta bahan berunsur ilmu. Penulisan hendaklah
menggunakan ayat yang gramatis serta tanda baca dan ejaan yang betul.
Tulisan berangkai yang jelas dan cantik hendaklah digalakkan. Hasil
pembelajaran bagi Kemahiran Menulis ialah keupayaan menggunakan pelbagai
jenis ayat dan wacana, mencatat dan menyusun maklumat, menghasilkan
penulisan kreatif dan bukan kreatif, dan membuat ulasan.
8.0 Menggunakan pelbagai jenis ayat dan wacana dalam penulisan
8.1 Membina dan menulis perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk.
8.2 Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu tajuk.
8.3 Menulis perkataan dan ayat dengan tulisan berangkai yang kemas.
8.4 Membina dan menulis ayat topik dan ayat huraian berdasarkan sesuatu perkara.
8.5 Mengenal pasti dan menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam satu perenggan bagi sesebuah karangan.
8.6 Membina wacana yang sempurna bagi keseluruhan karangan.
9.0 Mencatat dan menyusun maklumat
9.1 Mengambil imlak bahan yang diperdengarkan.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
9.3 Menyusun maklumat daripada nota atau catatan hasil daripada bahan yang didengar atau dibaca secara kohesif.
10.0 Menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif
10.1 Menghasilkan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.
10.2 Mengedit dan memurnikan hasil penulisan.
10.3 Membuat ringkasan daripada bahan yang didengar dan dibaca.
11.0 Membuat ulasan tentang bahan yang didengar, ditonton, atau dibaca
11.1 Menyatakan pandangan tentang perkara yang menarik dalam sesebuah karya.
11.2 Mengulas karya bukan sastera dari segi penggunaan perkataan, idea, ayat, wacana, nilai dan pengajaran.
11.3 Mengulas karya sastera yang mudah secara umum dari segi tema dan
persoalan, watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran, dan gaya bahasa.
11.4 Memberikan komen dan pandangan tentang pendapat yang disampaikan oleh pihak lain.
SISTEM BAHASA
Sistem Bahasa berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa,
ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Penerangan
ringkas bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.
1.0 Tatabahasa
Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan
secara terancang dalam konteks untuk ketepatan berbahasa. Kandungan
tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.
1.1 Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk kata,
dan penggolongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran
atau lambing (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk
kata pula ialah rupa unit tatabahasa sama ada berbentuk tunggal atau
hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan , dan penggandaan.
Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan
keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang
sama. Aspek morfologi yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut:
a. Struktur kata merujuk kepada pola suku kata bagi
i. kata asli bahasa Melayu
ii. kata pinjaman bahasa Melayu
b. Bentuk kata
i. kata tunggal
ii. kata terbitan
iii. kata majmuk
iv. kata ganda
• Proses pembentukan kata bahasa Melayu ialah:
i. pengimbuhan
ii. penggandaan
iii. pemajmukan
Antara ketiga-tiga proses pembentukan kata, yang amat kompleks ialah
sistem imbuhan bahasa Melayu. Oleh itu, penekanan hendaklah diberi
kepada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari segi bentuk dan makna.
c. Golongan kata
i. kata nama
ii. kata kerja
iii. kata adjektif
iv. kata tugas
1.2 Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur , dan
binaan atau konstruksi ayat. Ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian
tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan
dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat.
Aspek sintaksis yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut :
a. unsur utama yang terdiri daripada kata, frasa, klausa, dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat,
b. jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan,
c. ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif,
d. susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang,
e. binaan dan proses penerbitan ayat:
i. ayat dasar
ii. ayat tunggal
iii. ayat terbitan atau ayat majmuk, dan
f. aspek tanda baca
2.0 Sistem Ejaan
Perkara yang diberi penekanan ialah:
i. pola keselarasan huruf vokal
ii. ejaan kata pinjaman
iii. ejaan kata dasar dan kata terbitan
3.0 Sebutan dan Intonasi
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan
ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang
dipupuk ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek
dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan sesuatu makna
dengan tepat. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah
sebutan bahasa Melayu baku.
i. Sebutan
Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul.
Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah sebutan
bahasa Melayu baku.
ii. Intonasi
Intonasi ayat bahasa Melayu hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
a. Jenis ayat
i. ayat penyata
ii. ayat tanya
iii. ayat seruan
iv. ayat perintah
b. Susunan ayat
i ayat biasa
ii. ayat songsang
c. Ragam ayat
i ayat aktif
ii. ayat pasif
Nota:
* Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu Edisi 1993 ialah buku tatabahasa
pegangan yang menjadi sumber rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.
* Buku Daftar Ejaan Rumi dan Jawi Edisi 2001 ialah buku panduan ejaan yang menjadi rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.
4.0 Kosa kata
Kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah. Penguasaan kosa
kata perlu dipertingkatkan dan diperkembang selaras dengan pertambahan
ilmu dalam mata pelajaran peringkat sekolah rendah.
5.0 Peribahasa
Peribahasa yang merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah,
bidalan, perbilangan , kata-kata hikmat , dan bahasa kiasan perlu
diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa,
kata-kata hikmat, dan bahasa kiasan hendaklah mengutamakan falsafah,
keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia.
PENGISIAN KURIKULUM
Terdapat beberapa elemen dalam pengisian kurikulum, iaitu ilmu daripada
pelbagai bidang ilmu,nilai,kewarganegaraan , peraturan sosiobudaya, dan
kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa
depan, kecerdasan pelbagai , serta pembelajaran secara konstruktivisme,
dan kontekstual.
1.0 Ilmu
Ilmu merangkumi pelbagai bidang ilmu dan disiplin . Contohnya ilmu dalam
bidang sains, geografi dan lain-lain yang dapat digunakan untuk
memperkembang ilmu bahasa dan kemahiran bahasa. Pengetahuan juga
termasuk perkara semasa yang boleh dipertimbangkan oleh guru dalam
pengajaran dan pembelajaran.
2.0 Nilai
Penyerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk
melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu,
penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan membentuk generasi muda
yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia. Keperihatinan dan pemahaman
bahawa Malaysia ialah negara pelbagai budaya harus dipupuk secara
langsung dan tidak langsung. Ini seterusnya dilanjutkan kepada pemahaman
di peringkat antarabangsa selaras dengan keperluan globalisasi.
3.0 Kewarganegaraan
Unsur patriotisme dan kewarganegaraan yang diserapkan dalam pengajaran
dan pembelajaran mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan
tanah air. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk
melahirkan warganegara yang baik dan meningkatkan komitmen individu
terhadap bangsa dan negara.
4.0 Peraturan Sosiobudaya
Peraturan sosiobudaya dalam pendidikan Bahasa Melayu meliputi kesantunan
bahasa, laras bahasa , dan peribahasa yang diamalkan dalam masyarakat
Malaysia.
5.0 Kemahiran Bernilai Tambah
Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman di bilik darjah sesuai
dengan situasi kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia yang
global. Sehubungan dengan itu, kurikulum Bahasa Melayu menyepadukan
kemahiran lain agar memenuhi keperluan semasa pengajaran dan
pembelajaran. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran
berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran
belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai , serta
pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. enjelasan tentang
kemahiran bernilai tambah dinyatakan di bawah.
5.1 Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui soalan dan aktiviti
yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar,
bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir , sama ada dari segi
mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan
penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa depan.
5.2 Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid
supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi
seperti menghantar dan menerima e-mel, menggunakan aplikasi perisian
dalam menyempurnakan tugasan harian, dan mengakses maklumat melalui
internet.
5.3 Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya
mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan
kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap
bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan mengamalkan
pembelajaran seumur hidup.
5.4 Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pembelajaran untuk mendidik
murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang
berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Ini bermakna, murid
dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan
supaya murid mendapat manfaat yang maksimum.
5.5 Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai merangkumi verbal-linguistik, logikmatematik, muzik,
kinestetik, visual-ruang, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis.
Oleh itu, guru perlu mengembangkan potensi kecerdasan murid dengan
menyediakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan
mereka kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang
berbeza.
5.6 Pembelajaran Konstruktivisme Pembelajaran konstruktivisme dalam
pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan
pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman
sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan
lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat.
5.7 Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi
pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam
pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang
pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir.
Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan
pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran
dengan kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment